Sabtu, 19 November 2011

buah mangga dipilih dengan dipegang2 dan dicium,,tetapi buah durian dipilih dengan cermat dan berhati2=))


"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".......( Al-Ahzaab 33:59 )

PANDANGAN FATIMAH SYARHA

Bacaan ini bukanlah menggalakkan kita menjadi judgmental. Diharap dapat baca dengan hati yang terbuka. Semoga bacaan ini dapat "put things into perspective" buat kita dalam menilai dan memahami kewajipan menutup aurat sebagaimana yang dituntut agama, insyaAllah.


Corat-Coret Kisah Tudung Labuh…

“Akak, kenapa akak pakai tudung labuh?” Soalan ini sudah banyak kali dilontarkan oleh remaja kepadaku. Adik bongsuku, Asiah Yusra yang sedang mekar meniti usia remaja, turut bertanya. Melihat wajahnya yang saling tidak tumpah dengan iras wajahku, aku terasa bagaikan sedang melihat diriku sendiri. Aku pernah remaja dan terpesona melihat kakak sulung bertudung labuh. Kufahami, remaja bertanya kerana mereka sedang tercari-cari identiti diri.


Kali pertama aku memilihnya sebagai imej diri ketika usiaku remaja. Saat itu, aku bertudung labuh kerana keindahannya menghiasi wanita-wanita berakhlak mulia yang kukenali. Ibuku, kakakku, kakak-kakak naqibahku, ustazah-ustazahku semuanya bertudung labuh. Hingga aku mensinonimkan tudung labuh itu dengan keindahan, keperibadian dan kebaikan. Walaupun aku turut mengenali teman-teman bertudung labuh yang akhlaknya bermasalah namun aku masih menemui keindahan jiwanya, ingin menjadi lebih baik. Hari ini, aku memilih tudung labuh kerana aku yakin ia lebih istimewa pada pandangan-Nya.


Ketika remaja, aku hampir tidak sedar banyak pertanyaan yang terpendam. Mungkin saat itu aku tidak tahu apa yang aku perlu tahu. Hinggalah persoalanku terjawab satu demi satu. Hikmah bicara kakak-kakak naqibahku menerangkan pelbagai soalan yang kutagihkan pengertian. Yang paling kuingati, Kak Siti Aisyah Mohd Nor (kini merupakan bidadari kepada seorang tokoh agama terkenal). Jasa kalian selamanya harum dalam ingatan.


Yang Tertutup Itu Indah


Ketika kubertanya tentang tudung labuh, mudah jawapan yang pernah kuterima, “Yang tertutup itu indah!” Jawapan yang membawaku mengkaji surah al-Ahzab ayat 59, maksud dan tafsirannya.



Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan isteri-isteri orang mukmin, ‘hendaklah mereka melabuhkan jilbab ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali sebagai wanita baik agar mereka tidak diganggu.’”


Ya, sedangkan buku yang kita sayangi, kita sampulkan seindahnya. Inikan pula bentuk tubuh wanita, takkan tiada sampulnya? Kuperhatikan kulit bukuku yang bersampul lebih terjaga berbanding kulit bukuku yang tidak bersampul. Kuperhatikan langsir yang cantik menghias pintu dan tingkap. Kuperhatikan kain yang mengalas meja dan perabot. Benar, yang tertutup itu indah! Begitu juga cara Allah menghargai keindahan wanita dengan menggariskan perbatasan aurat. Agar keindahan itu hanya dinikmati oleh insan yang berhak. Bukannya diratah-ratah oleh pandangan yang sakit.


Istimewa Bertudung Labuh


Di sini, aku tidak mahu berbicara panjang tentang kewajipan menutup aurat. Apa yang ingin kukongsi di sini adalah tentang beberapa peristiwa dalam hidupku yang membuatkan aku berasa tudung labuh itu benar-benar istimewa. Allah banyak kali menyelamatkan dan memudahkan urusanku dengan asbab tudung labuh.


Dikejar Tebuan Tanah


Dalam satu program motivasi remaja, aku menyertainya sebagai salah seorang fasilitator. Antara aktiviti yang dilakukan ialah jungle trekking. Aku mengetuai barisan remaja puteri yang siap sedia memasuki hutan. Taklimat dan doa dimulakan.


Menderap ke tengah belantara, tiba-tiba peserta puteri paling depan terlanggar sarang tebuan tanah. Tebuan tanah berterbangan garang. Sedia menyerang. Peserta itu menjerit kesakitan kerana disengat. Peserta di belakangnya turut menjerit ketakutan. Aku yang turut berada di barisan depan ketika itu melaungkan takbir. Lantas mengarahkan peserta yang lain berundur. Mereka bertempiaran lari.


Sementara aku tetap bertahan di situ. Kututup sebahagian wajahku dengan tudung labuhku. Tangan turut kusembunyikan di bawah tudung labuh. Kulindungi beberapa peserta yang terkepung dengan tudung labuhku agar tidak disengat lagi. Segera kubawa mereka berundur. Ajaibnya, seekor tebuan pun tidak berjaya menyengatku. Subhanallah! Maha Suci Engkau yang menyelamatkan aku dengan secebis kain buruk ini.


Terlindung daripada Mata Mat Rempit


Suatu hari, aku ingin pulang ke kampusku di UIA setelah bercuti pertengahan semester di kampung halaman. Seperti biasa, aku membeli tiket bas dan berusaha mencari bas yang mempunyai tempat duduk seorang. Request. Ini penting bagi mengelakkan aku terpaksa bermalam di dalam bas dengan bertemankan seorang lelaki asing di sebelah.


Akhirnya kumembeli tiket dengan sebuah syarikat bas yang belum pernah kunaiki . Sebelum menaiki bas, aku berpesan kepada pemandu kedua agar menurunkan aku di Greenwood. Semua mata terlena melepaskan kelelahan hidup dengan mengembara ke alam mimpi yang seketika. Kedengaran sayup-sayup suara pemandu bas mengejutkan aku dari tidurku. Lantas aku terjaga separuh sedar. Ketika itu, aku duduk di kerusi seorang paling depan, tidak jauh dari pemandu.


Jam baru menunjukkan pukul 4.30 pagi. Badanku amat penat dan urat kepala terasa merenyuk. Aku bangkit dari kerusiku dalam keadaan mamai menuruni bas. Ketika berada di luar bas, aku masih sangat mengantuk. Terasa secepat kilat bas meninggalkanku.


Ya Allah! Aku terkejut kerana hanya aku seorang yang menuruni bas. Lagipun, tempat bas itu memberhentikan aku bukannya tempat perhentian bas di Greenwood seperti kebiasaan. Aku langsung tidak mengenali tempat itu. Tiada peluang untukku bertanya atau membatalkan saja tempat perhentian itu. Nyata aku sudah terlewat. Asap bas pun sudah tidak kelihatan.


Aku berada di sebuah perhentian bas. Jalan raya di hadapannya lurus. Lengang. Sunyi. Kawasan sekitarnya adalah kawasan perumahan yang sedang bergelap. Jalur-jalur cahaya hanya sedikit. Kupandang ke belakang dan mendapati tidak jauh dari situ terdapat sebuah masjid. Namun, ia kelihatan gelap. Sunyi. Kelihatan seekor anjing berwarna hitam, besar dan garang sedang berlegar-legar di luar pagar masjid. Ya Allah, pada-Mu aku bertawakal.


Aku segera menelefon kenalan rapatku, Puan Norliza Mohd Nordin untuk mengambilku. Pada masa yang sama, mataku melilau mencari kayu atau besi yang akan kugunakan sebagai senjata seandainya anjing itu mendekatiku.


“Di mana?” Tanya Puan Norliza. Susah-payah aku cuba menerangkan lokasi yang asing itu. Tambahan pula, aku tidak dapat melihat papan tanda yang menunjukkan nama masjid. Kehadiran anjing itu membuatkan aku tidak berani menghampiri masjid. Sukar Puan Norliza mentafsirkan lokasi aku berada.


Tiba-tiba, sekumpulan samseng jalanan dengan pelbagai aksi motosikal yang berbahaya berhenti beramai-ramai di seberang jalan tempatku berada. Bagaikan ada mesyuarat penting di situ. Aku tiada tempat bersembunyi. Apa yang mampu kulakukan adalah tetap berdiri di tempatku dan membaca segala ayat al-Quran yang pernah kuhafal. Tawakalku memanjat langit dunia. Kebetulan, aku berjubah hitam dan bertudung labuh warna hitam. Aku menggunakan kesempatan itu untuk menyembunyikan diriku di balik warna malam. Cebisan kain turut kututup pada wajahku yang berkulit cerah.


Saat yang amat mendebarkan dalam hidupku, kelihatan anjing yang garang sedang berlari ke arahku. Kupujuk hati, anjing itu akan baik padaku kerana ia tidak menyalak. Samseng jalanan pula seakan sedang memandang-mandang ke arah lokasiku. Ketika itu, aku mengucapkan dua kalimah syahadah berkali-kali. Aku siapkan emosi untuk berjihad mempertahankan diri. Biar nyawa jadi taruhan, menyerah tidak sekali!


Allah menjadi saksi. Aku bagaikan tidak percaya apabila melihat anjing itu sekadar melintasiku seolah-olah langsung tidak melihatku di balik kegelapan. Walau bagaimanapun, aku masih resah melihat samseng jalanan asyik memandang ke arahku. Aku bertambah risau membayangkan Puan Norliza mungkin tidak dapat mengagak lokasiku itu kerana dia asyik menelefonku. Tiba-tiba samseng jalanan itu beredar. Bunyi ekzos mengaum pergi, pelbagai aksi. Mereka seakan-akan memandang dengan pandangan yang kosong sahaja ke arahku sebentar tadi. Puan Norliza pula sampai, menambahkan syukurku. Hatiku yakin, Allah telah menyelamatkanku di balik tudung labuh berwarna gelap itu. Alhamdulillah!


Menyelamatkan Beg Tanganku daripada Ragut

Seorang temanku dari Brunei sudah beberapa hari tidak datang ke kelas sarjana. Aku risaukan keadaannya. Apabila dia datang kembali, aku segera bertanya. Dia menunjukkan pipinya yang calar sambil bercerita dengan juraian air mata.


Dua orang pemuda yang menunggang laju meragut beg tangannya. Dia ikut terseret. Ketika itu pula dia sedang mengandung dua bulan. Hampir-hampir keguguran. Kedua-dua lututnya terluka. Pipi dan tangannya tercalar. Berdarah.


Aku sedih mendengar ceritanya. Dia memegang hujung tudungku sambil menyimpulkan, “Jika akak pakai tudung labuh macam ni, tentu diorang tak nampak beg tangan akak.” Kata-kata itu membuatkanku benar-benar berfikir jauh. Aku bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana tidak pernah menjadi mangsa ragut. Baru aku sedar, rupa-rupanya antara faktor yang menyelamatkanku adalah kerana beg tanganku sentiasa tersembunyi di bawah tudung labuh. Cuba anda bertanya kawan-kawan anda yang menggalas beg tangan di bawah tudung labuh, pernahkah mereka menjadi mangsa ragut?


Mendekatkan Jodoh dengan Lelaki Soleh


Aku hairan melihat beberapa orang temanku yang mulanya bertudung labuh tapi akhirnya menukar penampilan kerana takut tidak dipinang. Aku hormati penampilannya selagi masih menutup aurat namun jika itu alasannya, dia mungkin tersilap. Aku yang tetap bertudung labuh ini juga akhirnya yang agak cepat menerima pinangan.


Suamiku mengakui antara faktor yang meyakinkannya pada agamaku saat memilih bunga untuk disunting adalah kerana nilai tudung labuhku. Wanita bertudung labuh lumrahnya hanya berani dirisik oleh lelaki yang mempunyai persiapan agama. Jika malas hidup beragama, mereka akan berfikir beribu kali untuk memiliki seorang suri yang bertudung labuh. Rasa tidak layak. Rasa perlu membaiki diri terlebih dahulu.


Pernah juga aku dan suami cuba memadankan beberapa orang temanku dengan lelaki-lelaki soleh yang kami kenali. Apabila biodata bertukar tangan, gadis bertudung labuh rupa-rupanya menjadi kriteria penting seorang lelaki soleh. Malang bagi temanku yang sebenarnya baik dan berbudi bahasa, namun kerana penampilannya itu melambatkan jodohnya.


Benar, kita tidak boleh menilai seseorang hanya melihat luarannya. Namun, realitinya, kadang kala masa terlalu singkat dan peluang tidak ada untuk kita mengkaji dalaman seseorang sehingga terpaksa menilainya hanya melalui luarannya. Contoh realiti, jika kita ingin membeli nasi lemak di gerai. Kelihatan penjual di gerai yang pertama ialah seorang makcik bertudung labuh. Penjual di gerai kedua pula seorang wanita tidak bertudung dan rambutnya menggerbang lepas. Mana yang kita pilih? Kenapa cepat membuat pilihan sebelum mengkaji dalaman kedua-duanya dahulu? Apa nilaian kita ketika itu? Fikir-fikirkan.

Hormatilah Selagi Masih Menutup Aurat!!!!!!!!

Ya! Ya! Ya! Kudengari suara-suara hatimu yang sedang berbisik, “Ramai saja yang bertudung labuh tapi tak baik.” “Tudung tak labuh pun masih tutup aurat.” “Don’t judge people by its cover.” Kuhormati semua kata-kata ini sepertimana kuhormati dirimu yang masih bertudung. Alhamdulillah. Aku cuma berkongsi secebis pengalaman dalam hidupku yang menyebabkan kurasakan tudung labuh terlalu istimewa. Buat adik-adik remaja yang pernah bertanya, akak harap adik menemui jawapannya.

WALLAHUA'LAM..
http://debuancintaalhamra.blogspot.com/2010/10/tertutup-itu-lebih-indah.html

Sabtu, 12 November 2011

suluhkan cahaya di dalam hidup ku....



Jom masukkan Nur dalam diri kita…

عن أبي محمد عبد الله بن عمرو بن العاص رضى الله عنهما قال
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم:لا يؤمن أحدكم حتى يكون هواه تبعا لما جئت به

Daripada Abu Muhammad Abdulllah bin ‘Amru bin al’Ass r.a daripada Nabi s.a.w baginda bersabda:”Tidak beriman seseorang daripada kalangan kamu sehingga nafsunya mengikut apa yang aku bawa.(Baginda bawa)
Hadis Hasan Sahih

:(لا يؤمن)Tidak beriman.Maksudnya,tidak sempurna atau tidak sah imannya.
:(هواه)Hawa nafsunya.Iaitu apa yang dia suka dan hatinya cenderung kepadanya serta sesuai dengan tabiatnya

(تبعا):Mengikut.Iaitu menjadi pengikutnya sehingga menjadi kebiasaan kepadanya.

(لما جئت به.):Apa yang aku bawa.Iaitu syariat sempurna yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada aku,yang mengandungi suruhan dan larangan yang dinaskan oleh al-Quran atau diterangkan oleh as-Sunnah.

Pengajaran Hadis

1.Setiap muslim wajib menjadikan al-Kitab dan as-Sunnah sebagavipanduan kepada semua tindak tanduknya serta berusaha supaya sesuai dengan kehendak kedua-duanya.

2.Sesiapa yang hatinya membenarkan syariat Allah dan diikrar dengan lisan,tetapi perbuatannya bertentangan dengan syariat tersebut,maka dia termasuk di kalangan orang-orang yang fasik.Sesiapa yang amalannya selari dengan syariat tetapi iktiqad dan pemikirannya menyanggahi syariat,maka dia tergolong di kalangan orang-orang yang munafik.Manakala mereka yang selalu berubah-ubah pendiriannya berdasarkan kepada keadaan,maka mereka adalah orang-orang zindik yang keluar dari agama.

3.Di antara tuntutan iman ialah membela dan mempertahankan sunnah Rasulullah s.a.w serta syariat yang dibawanya oleh Baginda Nabi.

*Bukanlah tujuan kita menghafal hadis untuk mengeluarkan hukum daripada hadis tersebut sedangkan kita masih lagi tidak layak berbuat demikian,tetapi adalah untuk masukkan Nur Nabi dalam diri kita kerana Nabi kita NUR  dan kalamnya juga NUR..

*Seorang ulama berkata:Aku tidak nampak apa yang kau katakan itu adalah hadis nabi,kerana kalam nabi itu NUR dan aku tidak nampak NUR dalam kalam yang kau katakan itu.
Allah lebih mengetahui segala sesuatu dan semoga diampunkan segala dosa kita kerana terlalu mengikut   (هواه) yang bukan dalam tuntutan ISLAM

Jumaat, 14 Oktober 2011

untuk diri yg ingin kearah yg lebih baik!


Dulu kita bace warkah dari Adam buat Hawa.. sekarang ni mari kita baca warkah dari Hawa buat Hawa:)


Hawa..
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar Islam, kita dizalimi, hak kita decerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum Adam. Tiada nilaian dimata Adam. Kita hanya sebagai alat memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini bila rahmat Islam menyelubungi alam, bila sinar Islam berkembang, darjat kita diangkat, maruah kita dipelihara, kita dihargai dan dipandang mulia, dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan didunia ini melainkan wanita solehah.


Wahai Hawa..
Kenapa engkau tidak menghargai nikmat iman dan Islam?
Kenapa engkau kaku dalam mentaati ajaranNya?
Kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya?
Kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya?


Wahai Hawa…
Tangan yang menghayun buaian bisa menggoncangkan dunia! Sedarlah Hawa.. kau bisa menggoncangkan dunia dengan melahirkan manusia yang hebat! Yakni yang soleh dan solehah. Kau bisa menggegarkan dunia dengan dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia!


Tapi Hawa…
Jangan sesekali kau cuba menggoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan engkau menghentak-hentakkan kakimu untuk menyatakan kehadiranmu.


Jangan Hawa!
Jangan sesekali cuba manarik perhatian kaum Adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali menggoda lelaki yang bukan suamimu. Kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Tetapi memberi kegembiraan kepada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan! Alat yang di eksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam!


Hawa..
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibu bapamu. Andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu. Andai engkau seorang ibu, didiklah anakmu sehingga ia tidak gentar memperjuangkan ad-deenullah.


Hawa..
Andai engkau belum berkahwin, jangan engkau risau akan jodohmu. Ingatlah hawa, janji Tuhan kita. Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan menggadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki. Jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki. Kerana engkau bukan memancing hatinya tetapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan mahram kerana aku khuatir. Dari mata turun ke hati, dari senyuman turun membawa ke salam. Dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuan…. Takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.


Hawa..
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa. Lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui kecantikan wajahnya. Lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuannya, kemanjaannya, serta kemampuannya menggoncangkan iman mereka.


Tapi Hawa…
Lelaki yang baik, akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan ad-deennya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita bukan muhrimnya kerana dia takut memberi kesempatan pada syaitan untuk menggodanya. Lelaki yang warak juga tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah perhubungan antara lelaki dan wanita. Yakni perkahwinan..


Oleh itu Hawa…
Jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu. Cintailah Allah dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta dari insan yang mencintai Allah. Cintailah kedua ibu bapamu kerana engkau akan perolehi keredhaan Allah.


Hawa…
Ingatanku yang terakhir. Biarlah tangan yang menghayunkan buaian ini bias menggoncangkan dunia dalam mencapai keredhaan Ilahi. Jangan sesekali tangan ini juga yang menggoncangkan keimanan kaum Adam. Kerana aku sukar menerimanya dan aku membenci mendengarnya…



Ahad, 18 September 2011

Bantu aku ya Allah...


Seorang lelaki yang aku idamkan 
Ialah seorang buta,bisu, bakhil dan papa… 
Biarlah dia seorang yang buta
Buta, Kerana matanya sunyi daripada melihat perkara-perkara maksiat dan lagha 
Kerana matanya terpelihara daripada memandang aurat wanita ajnabi 
Asalkan kedua matanya terang dalam memerhatikan keagungan ciptaan Allah 
Asalkan dia celik dalam melihat kesengsaraan umat Islam di Palestin, Ambon, Bosnia dan seumpananya 

Biarlah dia seorang bisu
Bisu, Bisu daripada pujuk rayu yang bisa menggoncang keimanan
Bisu daripada mengungkapkan ucapan yang bisa meracun fikiran 
Bisu daripada perkataan yang bisa mendatangkan kekufuran 
Asalkan bibirnya sentiasa basah mengingat Tuhan 
Asalkan lidahnya tidak pernah lekang dari membaca Al-Quran 
Asalkan dia petah membangkang kemungkaran
Dan lantang menyuarakan kebenaran 

Lelaki yang aku idamkan ialah seorang yg bakhil 
Bakhil, Bakhil dalam memberi senyuman 
Pada wanita yang bukan mahramnya 
Bakhil dalam meluangkan masa bertemu janji dengan wanita ajnabi yang boleh dinikahinya 
Bakhil untuk menghabiskan wang hanya kerana seorang wanita yang tidak sepatutnya 
Tetapi dia begitu pemurah meluangkn masanya untuk beribadah kepada Khaliqnya 
Dia begitu pemurah untuk mempertahankan aqidahnya 
Pemurah dalam memberi nasihat dan teguran 
Sehingga dia sanggup menggadaikan hartanya
Bahkan nyawanya sendiri untuk melihat kalimah LAILAHAILALLAH
Kembali megah di muka bumi 

Lelaki yang aku idamkan adalah seorang yang papa 
Papa, Papa dalam melakukan perkara maksiat
Papa dalam ilmu-ilmu yang tak berfaedah dan bermanfaat 
Papa memiliki akhlak mazmumah 
Tapi dia cukup kaya dalam pelbagai ilmu pengetahuan 
Dia begitu kaya memiliki ketinggian akhlak dan budi pekerti yang mulia 
Dia begitu kaya dengan sifat sabar dalam mengharungi tribulasi kehidupannya 
Dan dia seorang yang kaya dalam membina jati diri 
Dia mahu menjadi seorang syuhada 
Yang syahid di jalan Maha Esa

Rabu, 24 Ogos 2011

Allah tidak pekak dan Allah tidak buta,mengantuk juga tidak.tidur apa tah lagi..

Ayah:Berlajarlah bersungguh2,kau bukan nak fikir kerja ka,nak fikir yang lain2.kau hanya nak fikir berlajar sahaja.ingat dan niatkan berlajar untuk bantu diri ke arah yg lebih baik,,niat nak pulang bantu masyarakat yg memerlukan,,besar tanggungjawab kau..pasakkan niat,,teguhkan hati,,ihklas kan niat,,mohon ya Allah,,bantu aku dalam perlajaran,,kuat kan ingatan aku,,agar aku bisa bantu diri ku ini di jalan mu,,bantu orang lain untuk yakin pada mu...Ingat lah,,bahawa Allah tidak pekak dan buta..Maha Mendengar dan Mengetahui.....

Rabu, 8 Jun 2011

Cacatan di HARI LAHIR AYAH tersayang yang ke-48 dalam ISLAM...


Selamat hari lahir ayah kita ucapkan...semoga ayah sentiasa di limpahi rahmat dan kasih sayang Allah Ta'ala..
Di sini kita ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf kepada ayah..sungguh tinggi kesabaran ayah dalam mendidik anak-anak ke arah yang baik..maaf kan kami semua anak-anak ayah atas segala kesalahan daripada kami di lahirkan sehingga lah sekarang...rasanya tidak mampu kami  balas jasa baik ayah dan ibu....

Dan kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ayah kerana sentiasa mendoakan kami agar dapat berjalan di muka bumi Allah ini dengan Akhlak Al quran dan Akhlak RasulAllah...terima kasih Ayah!

Dan kami juga tidak akan pernah berhenti mendoakan agar ayah dan ibu sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah..

Tidak dilupakan juga kepada adik-adik abang yang disayangi,Nursyafiqah,Muhammad Safwan,Nurnadhirah,dan Nuratiqah.Semoga kalian dapat sentiasa menggembirakan ibu dan ayah.Gembirakanlah mereka dengan akhlak peribadi yang soleh dan solehah.

Akhir kalam,,doakan kami ayah disini agar dapat menjalani peperiksaan dengan baik dan dapat menuntut ilmu di Tanah Para Nabi ini dengan baik dan selamat...Doakan kami Ayah!

Anakmu,
Muhammad Sabri Bin Mastori,
Penuntut Ilmu Universiti Al Azhar Mansurah.

Ahad, 6 Mac 2011

Aku Rindukan LELAKI Dahulu...


   Lelaki…

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanita mendongak megah,
Lelaki kami asadullah,saifullah,
Tokoh kami ramai tak terkata,

Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanita menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, Boneka yahudi,

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanita tenang dihati,
Lelaki kami menjaga,melindungi,

Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanita mahu cabut lari.
Lelaki pengkhianat, perogol bersiri,

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,

Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa mintak di bela,
Lelaki tunduk tak bertenaga,

Dulu,
Bila wanita dibawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,

Kini.,
Bila  wanita dibawah jagaanya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanita dibiar bebas ,binasa,



Dulu,
Lelaki menggadai harta ,nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,

Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu dunia dan seisinya,

Dulu,
Lelaki bermatiaan mencipta sejarah,
Kental berjihad , Tekun berdakwah,

Kini,
Lelaki hanya menyanjung sejarah,
Diri bermalasan, Tenaga tak dikerah,
                

 Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen & ummah,
Al Farouq , Zunurain mati dibunuh,

Kini,
Lelaki memperjuangkan diri & kroninya ,
Hingga sanggup berbunuh,

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat & teguh,

Kini,
Lelakinya berpuak & berpecah
Sesama sendiri saling bertelingkah,

Kembalilah lelakiku,
Pada kelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu
Acuan Madrasah Rasul